Hari ini, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah menyempurnakan perasmian program KUL Vibes 2025 yang berlangsung meriah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Program ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 dan bertujuan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.
Bertemakan “Wilayah Persekutuan Kita”, KUL Vibes 2025 menampilkan kepelbagaian budaya, warisan, sukan, serta aktiviti kekeluargaan yang mencerminkan keunikan masyarakat Malaysia, selari dengan nilai kesejahteraan dan hormat dalam gagasan Malaysia MADANI.
Sepanjang karnival ini, pelbagai acara menarik telah disediakan untuk semua peringkat umur. Antara aktiviti sukan dan permainan yang berlangsung termasuk Kejohanan Soccer Kids DBKL, eSports Games Console, sukan rakyat, zumba, Sukan Belia (Extreme Games), wall climbing, serta Memanah Terbuka Kuala Lumpur. Aktiviti kekeluargaan turut memeriahkan suasana dengan pertandingan mewarna, dekorasi kek, gubahan hantaran perkahwinan, jualan rahmah, serta permainan interaktif.
Bagi peminat seni dan budaya, pengunjung berpeluang menikmati persembahan buskers, pertunjukan seni seniman jalanan, tarian tradisional pelbagai kaum, serta konsert khas yang menampilkan artis terkenal. Persembahan istimewa turut disajikan oleh Kombo Budaya DBKL dan Orkestra Kuala Lumpur. Selain itu, program ini juga menampilkan Pameran Pakaian Tradisional Klasik, pameran batik, serta Pameran Permainan Tradisional sebagai usaha mempromosikan budaya dan warisan negara.
Sebagai sebahagian daripada acara, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah melakukan sesi flag-off bagi peserta Explorerace Hari Wilayah serta menyertai aktiviti zumba bersama warga kota. Beliau turut meluangkan masa bagi menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung bertuah.
Pada sebelah petang, program KL Prosperity 2025 diadakan, membolehkan pelancong merasai kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina, menikmati hidangan perayaan istimewa, serta menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan.
Salah satu acara kemuncak dalam karnival ini ialah Perarakan Harmoni, yang melibatkan pelbagai kontinjen daripada jabatan dan agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan termasuk DBKL, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Pejabat Tanah dan Galian WP, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, serta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan. Turut serta dalam perarakan ini ialah Kementerian Perpaduan Negara, yang menampilkan kepelbagaian etnik di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak, Orang Asli, Baba Nyonya, Jawa, Siam, dan Chetti pada sebelah malam.
Dengan penganjuran KUL Vibes 2025, program ini diharap dapat menjadi platform dalam mengukuhkan perpaduan serta mempromosikan keharmonian dan keunikan budaya di Wilayah Persekutuan, khususnya di Kuala Lumpur.
Hak Cipta Terpelihara © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
PENAFIAN: Pihak DBKL ini tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui portal ini. Harap Maklum.